Arkib

Archive for the ‘Status Dana Terkini-Tabung Pembinaan Surau As-Sobirin’ Category

Status Kewangan Pembinaan Surau As-Sobirin

Assalamualaikum w.b.k,

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua dermawan yang telah menyumbang wang ringgit dan usaha ke arah pembinaan surau kami ini. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT kami telah berjaya melaksanakan amanah melengkapkan binaan fasa pertama yang membolehkan bangunan tersebut dimanfaatkan seawal mungkin. Sekarang ini pembinaan fasa kedua sedang giat dilaksanakan. Gambar di bawah menunjukkan status kewangan terkini. Sumbangan masih diperlukan, semuga Allah SWT menjadikan kita di antara hamba-hambaNya yang bersyukur dan beramal soleh.


Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 dan Status Pembangunan

Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah,

Semoga kedatangan tahun baru ini membawa lebih kemajuan duniawi dan ukhrawi kepada umat Islam global, Malaysia dan masyarakat kita di blok 2 dan 3 Bandar Tasik Puteri.

Alhamdulillah jumlah penduduk di Bandar Tasik Puteri semakin meningkat saban tahun. Dengan hanya mempunyai sebuah masjid yang siap kira-kira 2 tahun lalu untuk kawasan penduduk yang luas, sudah tentu sebuah masjid tidak dapat mampu menampung jumlah jemaah solah jumaat walaupun dibantu dengan sebuah surau (Surau As-Siddiqin berstatus masjid) pada hari cuti am. Kedua-duanya melimpah dengan jemaah semasa solah Jumaat semasa cuti Maal Hijrah baru-baru ni. Mungkin disebabkan kurang yang mengambil kesempatan balik bercuti di kampung.

Kawasan di blok 2, 3, 4 dan Desa puteri agak jauh dari masjid kira-kira 5 km jaraknya. Dengan pembinaan surau di blok kami yang agak luas dengan anggaran boleh memuatkan 400-500 jemaah adalah di harapkan ianya boleh digunakan untuk menampung keperluan solah jumaat sekiranya perlu di masa hadapan sementara menanti kewujudan sebuah masjid di kawasan kami.

Berkenaan status pembinaan asas fasa 1 telah hampir siap, walaubagaimanapun kami masih memerlukan sumbangan para dermawan bagi melengkap keperluan lain bagi keselesaan para jemaah. Kelengkapan utiliti elektrik,  air dan tempat wuduk dan tandas juga masih belum siap. Sebanyak kira-kira RM221 ribu daripada hasil kutipan RM238 ribu telah dibelanjakan hingga hari ini.

Semuga dengan siapnya surau ini kelak masyarakat Islam di kawasan kami dapat memanfaatkannya sebaik-baiknya dan tuan-puan para dermawan mendapat ganjaran sedekah/amal jariah yang tidak putus-putus.

Akaun bank CIMB: 1416-0000085-105 ( Tabung Pembinaan Surau As-Sobirin).


Yang Menjalankan Amanah,

aryadi.mohd@yahoo.com

bendahari TPSAS

Salam Ramadan dan Dana Semasa Tabung Pembinaan

Salam Ramadan kepada semua muslimin dan muslimat,

Alhamdulillah kita dikurniakan umur yang panjang sehingga  sekali lagi berpeluang untuk bertemu dengan bulan ibadah yang dipenuhi dengan keberkatan dan digandakan segala amalan. Semoga dengan itu kita semua merebut peluang tersebut dengan memperbaiki tahap ibadah kita berbanding tahun-tahun sebelumnya seperti berpuasa dengan mengutamakan kesempurnaan, mengerjakan solat2 sunat dan mengunjungi rumah-rumah Allah dan memperbanyakkan amal jariahseperti sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Status terkini dana tabung pembinaan kita mempunyai baki terkumpul sebanyak RM128 ribu. Walau masih jauh dari target yang sasarkan, melalui mensyuarat AJK baru-baru, kerja-kerja pembinaan struktur asas InsyaAllah akan dimulakan di bulan yang dimuliakan ini. Justeru itu sempena bulan yg penuh barakah ini segeralah kita sekali lagi menyumbang harta dan wang ringgit untuk pembinaan rumah Allah ini. Mudah-mudahan amalan kita diberi ganjaran yang berlipat ganda dan menempatkan kita dikalangan hamba-hambaNya yang diredhai. Amin.

Status Dana Pembinaan Surau – April 2009

Assalamualaikum w.b.k,

Terima kasih dan setinggi penghargaan kepada para dermawan yang telah menghulurkan sumbangan kepada pembinaan ‘Rumah Allah’ di kawasan kami. Semoga Allah SWT memberkati rezeki Tuan Puan dan memurahkan rezeki lebih lagi. Kami pihak juga mengalukan sekiranya Tuan Puan sudi memanjangkan maklumat ini kepada saudara mara dan rakan taulan. Selain itu sumbangan pihak korporat juga amat diperlukan.

Status dana setakat ini setelah ditolak perbelanjaan kerja-kerja awal projek adalah sebanyak RM95,767.

Sekian, wassalam.

mohd.aryadi@gmail.com

(bendahari TPSAS)

Status kewangan terkini – Februari 2009

Assalamualaikum dan semuga semua pelawat laman ini dan para dermawan sekalian sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT dunia dan akhirat.

Sedikit perkembangan kurang sihat sekitar kawasan kami baru-baru ni:

  • isu beberapa buah rumah dipecah masuk dan menyebabkan kerugian menampakkan kegiatan semakin serius
  • setakat ini belum dapat dipastikan dan ditangkap penjenayah yang terlibat

Perkembangan yang baik pula, pihak surau buat pertama kali telah berjaya mengadakan program tajaan beberapa penduduk seperti kenduri kesyukuran disertai tazkirah, solat hajat dengan sedikit kelainan. Penaja menaja wang sumbangan untuk majlis jamuan makan yang mana juadah makanan dimasak secara gotong royong di kawasan surau oleh ahli qariah dan wang selebihnya dimasukkan ke akaun surau. Program tersebut mendapat sambuatan sangat baik diwaktu penyediaan dan diwaktu malam,  juga adalah menjadi harapan agar dapat diteruskan dan dijadikan program berkala untuk lebih  mengeratkan silatur-rahim antara penduduk-penduduk.

Untuk status terkini Tabung Pembinaan Surau As-Sobirin pula, bersyukur Alhamdulillah berkat usaha, doa dan pengorbanan wang ringgit Tuan-Puan kutipan telah meningkat ke RM 101,178.75.  Semoga niat ikhlas kita semua untuk menyempurnakan niat membina “Rumah Allah” akan terlaksana dengan sempurna. Teruskan usaha Tuan-Puan.. membantu usaha kami.

mohd.aryadi

(bendahari TPSAS)

Salam Tahun Baru 1430H/2009M

Assalamualaikum.. Pertamanya belum terlalu lewat lewat untuk mengucapkan salam tahun baru hijrah 1430H dan tahun masihi 2009.  Semoga perpindahan tahun ini membawa kita ke era yang lebih baik dan maju dari segi kehidupan dunia dan akhirat.

Sedikit perkembangan dari kemaskini yang lalu.. Baru-ini pihak surau telah mengadakan sambutan Maal Hijrah 1430 dengan mengadakan majlis ceramah oleh penceramah jemputan bagi pengisian rohani dan menyuntik semangat selain dari program ukhuwwah “Memasak Bubur Asyura” beramai2.

Dalam minggu ini juga pihak surau telah selamat menguruskan jenazah anak kepada seorang penduduk dan kariah surau yang meninggal dunia sebaik dilahirkan. Alhamdulillah.. dan terima kasih kepada sahabat2 yang menghidupkan aktiviti dan program kemasyarakatan di kawasan kita. Takziah juga kepada sahabat kita yang kematian anaknya dan hadapilah dengan kesabaran kerana semuanya itu ada hikmah disebaliknya.

Perkembangan Tabung Pembinaan Surau As-Sobirin pula setakat ini jumlah dana adalah sebanyak RM84,945.50.  Adalah diharapkan lebih ramai lagi dan sahabat2 dapat menambah sumbangan sebagai pelaburan kita untuk akhirat. InsyaAllah sumbangan tuan-puan juga akan menyumbang kepada kekuatan umat Islam di masa hadapan terutamanya di kawasan kita/kami.

Sumbangan boleh didepositkan terus ke akaun CIMB: 1416-0000085-105. Sila maklumkan kepada pihak kami bagi tujuan resit rasmi.

-

wassalam,

mohd.aryadi

(bendahari TPSAS)

Semuga Allah Merahmati dan Memberkati Rezeki Para Dermawan

Alhamdulillah kita semua telah lulus dan berjaya dalam ‘sekolah’ Ramadhan yang lalu. Sambutan Eidil Fitri juga telah berakhir setelah sebulan kita saling kunjung mengunjung rumah sahabat handai dan saudara mara yang mengadakan rumah terbuka (jamuan) raya. Tidak lama lagi kita akan menyambut Eidil Adha atau bahasa tempatannya Raya Korban pula.

Di Ramadhan yang lalu Alhamdulillah ramai yang dengan ikhlasnya menyumbang untuk tabung pembinaan surau dan kita berhasil mendapat kutipan bulanan tertinggi setakat ini. Jumlah kutipan tabung untuk bulan september 2008 adalah sebanyak RM 36,431.31menjadikan jumlah terkini dana terkumpul adalah sebanyak RM 71,370.

Dengan kehadiran Raya Korban yang tidak lama lagi, sekali lagi peluang terbuka luas untuk kita menginfaqkan sedikit sebanyak rezeki yang Allah kurniakan itu bagi tujuan tersebut sebagai mengambil semangat daripada pengertian pengorbanan daripada hari yang mulia tersebut, walaupun yang lebih aula (utamanya) ialah mengorbankan haiwan ternakan tertentu.

InsyaAllah pihak kami akan memaklumkan perkembangan terkini tabung dan pembinaan surau dari masa ke semasa. Menurut perancangan sebelum ini pihak AJK Pembinaan akan memulakan kerja-kerja asas pembinaan tersebut sebaik sahaja mencapai ‘milestone’ pertama iaitu kutipan mencecah RM 50 ribu. Dengan kos pembinaan dianggarkan mencecah RM600 ribu adalah diharapkan semua pihak dapat membantu pihak kami mendapatkan dana secukupnya untuk merealisasikan pembinaan ‘Rumah Allah’ yang mana semua pihak, ahli kariah dan para dermawan juga insyaAllah mendapat faedahnya iaitu ganjaran yang setimpal atau lebih baik daripada Allah SWT.

wassalam,

mohd.aryadi

(bendahari TPSAS)

Kuliah Nuzul al-Qur’an dan Status Tabung Pembinaan

Assalamualaikum w.b.k,

Alhamdulillah pada hari ini umat Islam di Malaysia dan di Tasik Puteri khususnya telah 17 hari melaksanakan ibadah puasa dan lain-lainnya di bulan Ramadhan yang dimuliakan ini. Kesyukuran juga dipanjatkan kepada Yang Maha Esa yang mengizinkan kita berjumpa Ramadhan di tahun ini, tahun hadapan belum tahu lagi.

Setiap malam kita bertarawikh di masjid-masjid dan di surau-surau diikuti dengan bertadarus al-Qur’an. Alhamdulillah dengan adanya surau sementara dan khemah yang diusahakan, kita para penduduk di kawasan blok 2 dan 3 Tasik Puteri dapat menunaikan ibadah tersebut walaupun dalam keadaan yang agak sederhana dari segi infrastruktur.

Malam semalam kita sempat menyambut Nuzul al-Qur’an dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama di surau dengan diikuti solah tarawikh dan program kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Mohd. Fathur Rahman Kasdiran yang merupa antara penggerak utama kariah kami.

Makanan memang banyak kerana kami membawa juadah masing-masing untuk berbuka puasa sehinggakan selepas tarawikh pun makanan masih berlebihan. Walaubagaimana pun yang lebih itu dibungkus untuk dibawa pulang dan diedarkan kepada jemaah yang sudi.

Ramadhan kali ini memang meriah walaupun surau sementara kami memang kecil saiznya dan solat tarawikh pun diadakan di dalam khemah. Ruang solat dalam bangunan surau digunakan untuk jemaah muslimat. Lepas terawih sebahagian jemaah sambung pula dengan program tadarus al-Qur’an. Adalah dalam 5-14 orang bergantung kepada kelapangan individu.

Tahun ini juga merupakan tahun pertama Bandar Tasik Puteri menyambut Ramadhan dengan masjid baru. Ada juga sebilangan ahli kariah yang solat tarawikh di masjid yang jauh lebih selesa tetapi sebahagian besarnya menunaikan ibadah di surau ini sahaja. Selain lebih dekat dengan rumah ( masjid 5 km ) ia dapat merapatkan ukhuwwah di kalangan masyarakat kejiranan.

Bersempena dengan Ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi ini, bersama-samalah kita memperbanyakkan dan mengikhlaskan amal ibadah kita yang ganjarannya berlipat ganda di bulan ini. Untuk sedekah dan amal jariah Tabung Pembinaan Surau As-Sobirin sentiasa mengalu-alukan sumbangan Tuan Puan yang jasanya hanya Allah yang mampu membalasnya. Untuk pengetahuan semua jumlah kutipan setakat ini lebih kurang RM43 ribu ringgit. Pihak kami juga mengalu-alukan Tuan Puan untuk membantu meng-war-war bagi membantu mendapatkan sumbangan daripada kenalan dan saudara mara. Sila hubungi mana-mana AJK sepertimana yang tertera di blog ini.

Sekian. Salam Ramadhan,

aryadi.mohd@yahoo.com

bendahari TPSAS

18 Ramadhan 1429H

Kerja-kerja menggantungkan ‘bunting’ kutipan dana bagi Tabung Pembinaan Surau As-Sobirin

Pada hari Jumaat malam Sabtu yang lepas (15hb Ogos,2008), antara pukul 10pm hingga 12:30pagi telah dilakukan kerja-kerja menggantungkan ‘bunting’ di beberapa lokasi strategik disekitar kawasan perumahan Blok 2 & Blok 3.  Disamping itu, ‘bunting-bunting’ tersebut juga telah digantung di beberapa kawasan strategik di sekitar Bandar Tasik Puteri.  Besarlah harapan kami AJK Pembinaan Surau As-Sobirin, agar ramai para dermawan yang ternampak dan bermurah hati untuk menyalurkan derma berupa dana kewangan bagi tujuan pembinaan surau yang dirancang.

Sempena kedatangan bulan Ramdhan yang bakal menjelma tidak beberapa hari lagi, mudah-mudahan sasaran awal untuk mendapatkan dana asas bagi memulakan projek pembinaan surau pada awal tahun 2009 dapat dilaksanakan seperti yang dirancang..insyallah.

Status terkini dana Tabung Pembinaan Surau

Alhamdulillah dengan kerjasama para dermawan, kutipan daripada para penduduk tempatan blok 2 dan 3 telah bermula sejak Jun 2008 yang lalu. Mesyuarat telah menetapkan sumbangan RM500 untuk setiap sebuah rumah sama ada pembayaran sekali gus atau bulanan RM50.

Nampaknya semakin ramai yang mula menderma untuk pembinaan surau tersebut setelah 3 bulan berlalu. Adalah diharapkan para penduduk bukan sahaja menghulurkan sumbangan peribadi malahan turut memanjangkan kutipan derma kepada sahabat handai, kenalan dan keluarga. Sila berhubung dengan mana-mana AJK Pembinaan Surau As-Sobirin atau Bendahari untuk tujuan tersebut. Resit wakaf dan surat permohonan derma korporat beserta borang jawapan/sumbangan juga disediakan.

Akaun berakhir Julai 2008 jumlah dana terkumpul adalah sebanyak RM25 ribu. Sumbangan juga boleh dimasukkan terus ke akaun CIMB ( 1416-0000085-105 ). Sila maklumkan kepada bendahari (saya) untuk mendapatkan resit rasmi sumbangan. Resit rasmi dikeluarkan oleh pihak surau dengan kebenaran/dicop oleh pihak JAIS.

Setiap ringgit sumbangan kita untuk membina rumah Allah merupakan saham akhirat kita dan hasilnya nanti digandakan berpuluh malahan beratus kali oleh Allah SWT.. InsyaAllah.

Aryadi.Mohd

Bendahari TPSAS

+6019-276-2112

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.