Sambutan Maulidur Rasul 1433H (2012M)
Alhamdulillah dengan izinNya kita telah dipilih sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan sekali lagi kita menyambut kedatangan bulan Rabiul Awwal iaitu mengenang kembali bulan kelahiran junjungan besar yang membawa cahaya Islam ke seluruh pelusuk alam. Jasanya amat besar dalam mentauhidkan Allah dan membuka ketamadunnan manusia yang kita kecapi pada hari ni.
Sehubungan itu pihak Jawatankuasa Surau Nur As-Sobirin telah menyusun program istimewa bagi sambutan tersebut. Hari sambutan diadakan pada Isnin, 6 Februari, 2012 dimulakan dengan majlis perarakan yang disertai oleh para jemaah dan penduduk kariah surau.
Perarakan dimulakan bertempat dari padang Impak 3 ke surau yang terletak di blok 2, BTP. Sepertimanan yang dirancang perarakan bermula sekitar jam 8:15 pagi dan berakhir di kawasan surau kira-kira 20 minit kemudian. Perarakan disertai dengan perbarisan kanak-kanak, kemudian dewasa lelaki diikuti golongan muslimat. Majlis amat meriah dengan masing-masing mengenakan pakaian yang sempurna dan disertai dengan laungan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.
Berikutnya para jemaah mengambil tempat bagi mengikuti program kuliah khas dhuha yang disampaikan oleh penceramah jemputan Ustaz Ghazali Omar dari SMKA Kuala Selangor.
Intisari penyampaian beliau untuk diambil iktibar ialah perlunya kita sebagai umat Nabi Muhammad membuktikan cinta kita kepada Rasulullah dan mengharapkan syafaatnya di hari akhirat nanti. Ianya boleh disimpulkan dengan mengenali tanda-tanda tersebut pada diri kita seterusnya melaksanakannya untuk mencapai darjat tersebut yang secara mudahnya dikenali sebagai “6S”.
6S tersebut adalah:
- Memperbanyakkan SELAWAT ke atas Nabi setiap hari, sebagai amalan harian
- Mempelajari seterusnya mengamalkan dan menghayati SUNNAH Nabi
- Melaksanakan SYARIAH dalam kehidupan
- Menyusuri SIRAH Rasulullah SAW
- SAYANG kepada pewaris Nabi iaitu para ulama’
- Mempunyai SIFAT sepertimana sifat-sifat ditunjukkan oleh Nabi SAW seperti siddiq, amanah, tabligh, fatonah, sabar, pemurah dan lain-lain
Majlis diakhiri dengan jamuan makan yang disediakan oleh pihak surau secara gotong royong. Alhamdulillah majlis kali ini mendapat sambutan terbaik dengan kehadiran sekitar 500 orang. Terimakasih juga kepada para penyumbang yang telah menyumbangkan tenaga, kambing, beras, wang ringgit dan lain-lain.
Berikut adalah sebahagian foto yang diambil. Foto perarakan akan dimuat naik kemudian InsyaAllah.

























