Ramadhan 1432H: Sambutan Nuzul Al-Qur’an
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini bertarikh 20 Ramadhan 1432H bersamaan 20 Ogos 2011 pihak surau dan penduduk kariah sama-sama mengadakan sambutan Nuzul Al-Qur’an.
Sambutan hari-hari kebesaran Islam dan kerjasama sesama ahli kariah dalam merancang dan bergotong royong dapat mengukuhkan persaudaraan Islam sepertimana yang dianjurkan oleh Islam sendiri. Selain itu program berbentuk ilmu dan pengisian jiwa dapat membentuk peribadi mulia dan meningkatkan amal dan penghayatan Islam.
Persiapan majlis bermula pada hari program dijadualkan iaitu hari Sabtu iatu gotong royong mengemas surau dan menyediakan tempat masak memasakĀ dan tempat berbuka puasa. Pada puasa kali ini bangunan surau telah siap sepenuhnya manakala ada projek tambahan sedang berjalan iaitu pembinaan kawasan dewan serbaguna berbumbung hasil sumbangan pihak kerajaan.
Sebaik selepas solat Zuhur gotong royong tersebut dan memasak dilaksanakan dan diketuai oleh AJK yang ditugaskan. Program bermula sekitar jam 6:30 petang dengan program Tazkirah sebelum berbuka puasa. Tazkirah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Fadhli.
Tazkirah mengupas tentang kewajipan ibadah berpuasa berhubung kait dengan kewajipan menegakkan hukum-hukum Allah yang lain yang terkandung dalam al-Qur’an yang mana kesemuanya bermatlamat untuk menjadikan hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Bermaksud setiap orang Islam hendaklah menerima dan melaksanakan seluruh perintah suruhan Allah dan meninggalkan seluruh larangan Allah untuk mencapai darjat taqwa.
Program tazkirah ditangguhkan untuk majlis berbuka puasa bersama-sama di surau. Diikuti dengan solat maghrib berjemaah dan kemudiannya semua jemaah menikmati hidangan jamuan yang disediakan secara gotong royong oleh pihak surau.
Selepas solat Isya’ diikuti majlis tahlil, solat tarawih, program tazkirah disambung semula sebelum melengkapkan 8 rakaat solat tarawih diikuti dengan witir.
Sambungan tazkirah menyentuh tentang takrif kejayaan oleh Allah SWT yang mana kejayaan itu ialah kepada mereka yang bertaqwa semasa hayatnya didunia yang mana pengorbanannya akan mendapat pembalasan dengan nikmat anugerah Allah dengan dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh dengan segalanya kenikmatan dan jauh kenikmatannya berbanding nikmat yang ada di dunia ini.
Sebelum meninggalkan surau sebahagian jemaah boleh berehat sambil minum berjuadahkan moreh. Program berakhir dengan sebahagiannya meneruskan program harian tadarus al-Qur’an.
Bersempena dengan bermulanya fasa ketiga Ramadhan sama-samalah kita merebut peluang untuk mencari kelebihan beribadah di malam Qadar yang mana kelebihannya menyamai beribadah 1000 bulan.
Berikut adalah sebahagian foto yang diambil sepanjang program:
































