Arkib

Archive for Ogos 2011

Ramadhan 1432H: Sambutan Nuzul Al-Qur’an

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini bertarikh 20 Ramadhan 1432H bersamaan 20 Ogos 2011 pihak surau dan penduduk kariah sama-sama mengadakan sambutan Nuzul Al-Qur’an.

Sambutan hari-hari kebesaran Islam dan kerjasama sesama ahli kariah dalam merancang dan bergotong royong dapat mengukuhkan persaudaraan Islam sepertimana yang dianjurkan oleh Islam sendiri. Selain itu program berbentuk ilmu dan pengisian jiwa dapat membentuk peribadi mulia dan meningkatkan amal dan penghayatan Islam.

Persiapan majlis bermula pada hari program dijadualkan iaitu hari Sabtu iatu gotong royong mengemas surau dan menyediakan tempat masak memasak  dan tempat berbuka puasa. Pada puasa kali ini bangunan surau telah siap sepenuhnya manakala ada projek tambahan sedang berjalan iaitu pembinaan kawasan dewan serbaguna berbumbung hasil sumbangan pihak kerajaan.

Sebaik selepas solat Zuhur gotong royong tersebut dan memasak dilaksanakan dan diketuai oleh AJK yang ditugaskan. Program bermula sekitar jam 6:30 petang dengan program Tazkirah sebelum berbuka puasa. Tazkirah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Fadhli.

Tazkirah mengupas tentang kewajipan ibadah berpuasa berhubung kait dengan kewajipan menegakkan hukum-hukum Allah yang lain yang terkandung dalam al-Qur’an yang mana kesemuanya bermatlamat untuk menjadikan hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Bermaksud setiap orang Islam hendaklah menerima dan melaksanakan seluruh perintah suruhan Allah dan meninggalkan seluruh larangan Allah untuk mencapai darjat taqwa.

Program tazkirah ditangguhkan untuk majlis berbuka puasa bersama-sama di surau. Diikuti dengan solat maghrib berjemaah dan kemudiannya semua jemaah menikmati hidangan jamuan yang disediakan secara gotong royong oleh pihak surau.

Selepas solat Isya’ diikuti majlis tahlil, solat tarawih, program tazkirah disambung semula sebelum melengkapkan 8 rakaat solat tarawih diikuti dengan witir.

Sambungan tazkirah menyentuh tentang takrif kejayaan oleh Allah SWT yang mana kejayaan itu ialah kepada mereka yang bertaqwa semasa hayatnya didunia yang mana pengorbanannya akan mendapat pembalasan dengan nikmat anugerah Allah dengan dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh dengan segalanya kenikmatan dan jauh kenikmatannya berbanding nikmat yang ada di dunia ini.

Sebelum meninggalkan surau sebahagian jemaah boleh berehat sambil minum berjuadahkan moreh. Program berakhir dengan sebahagiannya meneruskan program harian tadarus al-Qur’an.

Bersempena dengan bermulanya fasa ketiga Ramadhan sama-samalah kita merebut peluang untuk mencari kelebihan beribadah di malam Qadar yang mana kelebihannya menyamai beribadah 1000 bulan.

Berikut adalah sebahagian foto yang diambil sepanjang program:

Ramadhan 1432H: Menghayati Ramadhan Dengan Pengisian Ilmu dan Amal

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Jadual Tazkirah Sepanjang Ramadhan 1432H

Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan hari-hari yang berlalu dengan pantas, sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk mengisi jiwa kita dengan ilmu dan amal kerana ilmu adalah asas kepada amalan yang kita lakukan. Semoga amal yang dilakukan adalah benar, menepati kehendak agama dan diterima Allah SWT.

Dan mudah-mudahan dengan keikhlasan dan kesabaran kita dalam melaksanakan amalan dan menuntut ilmu, Allah memberi keberkatan dan rahmatNya ke atas diri kita di Ramadhan tahun ini kerana belum pasti kita akan bertemu Ramadhan tahun depan.

Pada setiap malam Ramadhan pihak surau mengatur program Tazkirah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz berlainan sebagai pengisian kepada penghayatan Ramadhan iaitu mengambil masa sekitar 30 minit.

Berikut adalah salah satu dan sebahagian rakaman Tazkirah yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan Ustaz Tarmizi, pada 10 Ramadhan 1432H sebagai panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Bahagian 1 daripada 2 bersambung..

.. sambungan bahagian 2 daripada 2

Pengisian Madrasah Ramadhan 1432H: Rebutlah peluang dengan keimanan dan ketaqwaan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah semua dari kita berpeluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan tahun ini. Masih diberi peluang untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan memperbaiki amalan sebagai bekalan bertemu denganNya.

Membaca Selembar Naskhah Al-Quran Selepas Solat Subuh

Di bulan inilah digandakan kebaikan, bulan yang disebut permulaannya rahmat Allah, pertengahannya keampunan Allah dan pengakhirannya pelepasan dari api neraka. Maka beruntunglah mereka yang merebut peluang yang diberikan.

Menjadi kewajipan setiap hamba yang Muslim menunaikan solat 5 waktu sehari semalam dan sebaik-baik solat ialah dilakukan di masjid/surau di awal waktu. Di Ramadhan ini tentulah ganjarannya lebih lagi disamping kita melaksanakannya demi mencari redha Allah.

Gambar kiri: Menerapkan kecintaan kepada Kalam Allah dengan membaca al-Qur’an selepas subuh secara bersama berserta terjemahan setiap hari sepanjang tahun.

Keutamaan solat berjemaah terutamanya solat Isya’ dan Subuh memang dituntut oleh Islam dan ianya dapat memberi kebaikan kepada yang mengamalkannya sama ada dari segi ruhani malah dari segi fizikal.

Jemaah Solat Subuh di Bulan Ramadhan

Gambar kanan: Bilangan jemaah solat subuh di hari ahad minggu pertama Ramadhan melihatkan peningkatan.. alhamdulillah. Moga semua dari kita dikurniakan kekuatan untuk terus konsisten mengamalkannya di luar Ramadhan.

Bersempena dengan bulan yang mulia ini, pihak surau juga mengatur program tazkirah setiap malam yang mengambil masa 30 minit sebagai pengisian ilmu dan mengambil semangat dari anjuran Islam iaitu ingat mengingati dalam perkara hak dan ingat-mengingati dengan kesabaran. Untuk duduk dalam majlis juga memerlukan kesabaran dan latihan kepada kita sedangkan diberitakan mereka yang duduk dalam majlis sahaja pun boleh dapat pahala seperti orang yang pergi berjihad.

Kuliah Subuh di Hujung Minggu

Selain program tazkirah, sebahagian majlis ilmu program bulanan masih diteruskan bergantung kepada kesesuaian waktu sebagai contohnya kuliah subuh pada pagi ahad masih diteruskan.

Gambar kiri: Penceramah jemputan kuliah subuh sedang menyampaikan ilmu pada 7 Ramadhan. Banyak ilmu yang dapat ditimba daripada majlis tersebut seperti:

  • Pandangan berbeza mazhab berkenaan ayat Bismillah sebahagian al-Qur’an..
  • Takmin, sebutan “Amin”; ganjaran dan asalnya..
  • Selawat ke atas Nabi, berkenaan solat tarawih..
  •  Hukum menggunakan sejadah, menghias masjid..
  • Imam yang tidak dapat hadir, bagaimana caranya..
  • Panggilan kewajipan berpuasa kepada orang yang beriman..
  • Apakah orang yang bertaqwa..

Akhir kalam..

Surau Nur As-Sobirin bukan milik sesiapa tetapi milik Allah, oleh itu sama-samalah kita mengimarahkan rumah tersebut demi kebaikan diri kita sendiri, demi mencari keredhaan Allah bukan kerana mencari keredhaan manusia ataupun mereka tidak mengunjunginya kerana tidak sukakan seseorang yang beribadah di dalamnya. Allah adalah matlamat. Wallahua’lam

Salam Ramadhan 1432H: Meningkatkan Ibadah Bersama Surau Nur As-Sobirin

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Kehadiran Jemaah Malam 1 Ramadhan.. Moga dapat dikekalkan ke akhir Ramadhan

Setinggi kesyukuran dengan izinNya sekali lagi kita sampai ke bulan mulia yang didalamnya penuh keberkatan dan ganjaran yang besar bagi mereka yang memenuhinya dengan beribadah kepada Allah SWT. Dengan kesempatan umur yang dikurniakan ini sama2lah kita mencari kekuatan untuk mempertingkatkan amalan (dari segi kualiti dan kuantiti) pada Ramadhan tahun ini berbanding tahun2 sebelumnya sepanjang hayat kita sebelum ini. Untuk itu, pihak JK surau telah mengatur beberapa program khas sepanjang Ramadhan. Berikut adalah sebahagian daripada senarai program:

  • majlis berbuka puasa
  • solat sunat Tarawih dan Witir
  • tazkirah Ramadhan
  • jamuan moreh
  • tadarus Al-Qur’an

Solat sunat Tarawih dilakukan sebanyak 8 rakaat (2 rakaat – 1 salam) dan di ikuti  solat sunat Witir 3 rakaat (1 salam) diimamkan oleh guru-guru madrasah tahfiz berdekatan. Pengisian ilmu, tazkirah pula diadakan setiap malam selepas empat rakaat solat Tarawih oleh penceramah jemputan dari kawasan sekitar dan luar. Selain itu bersempena bulan yang penuh ganjaran ini, pihak surau mengalu2kan sumbangan bagi menjayakan program penghayatan Ramadhan dan untuk mengisi tabung pengurusan dan aktiviti surau untuk sepanjang tahun. Sumbangan boleh dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan atau berhubung dengan mana2 ahli JK. Senarai penyumbang penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh juga masih terbuka dan hanya tinggal beberapa hari sahaja yang masih kosong.

Berikut adalah sebahagian gambar yang diambil pada malam 1 Ramadhan 1432H. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan beroleh rahmatNya. Mudah2an Allah memilih kita untuk istiqomah dan mempertingkatkan lagi amal ibadah hingga ke akhir Ramadhan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.