Alhamdulillah kita semua telah lulus dan berjaya dalam ’sekolah’ Ramadhan yang lalu. Sambutan Eidil Fitri juga telah berakhir setelah sebulan kita saling kunjung mengunjung rumah sahabat handai dan saudara mara yang mengadakan rumah terbuka (jamuan) raya. Tidak lama lagi kita akan menyambut Eidil Adha atau bahasa tempatannya Raya Korban pula.
Di Ramadhan yang lalu Alhamdulillah ramai yang dengan ikhlasnya menyumbang untuk tabung pembinaan surau dan kita berhasil mendapat kutipan bulanan tertinggi setakat ini. Jumlah kutipan tabung untuk bulan september 2008 adalah sebanyak RM 36,431.31menjadikan jumlah terkini dana terkumpul adalah sebanyak RM 71,370.
Dengan kehadiran Raya Korban yang tidak lama lagi, sekali lagi peluang terbuka luas untuk kita menginfaqkan sedikit sebanyak rezeki yang Allah kurniakan itu bagi tujuan tersebut sebagai mengambil semangat daripada pengertian pengorbanan daripada hari yang mulia tersebut, walaupun yang lebih aula (utamanya) ialah mengorbankan haiwan ternakan tertentu.
InsyaAllah pihak kami akan memaklumkan perkembangan terkini tabung dan pembinaan surau dari masa ke semasa. Menurut perancangan sebelum ini pihak AJK Pembinaan akan memulakan kerja-kerja asas pembinaan tersebut sebaik sahaja mencapai ‘milestone’ pertama iaitu kutipan mencecah RM 50 ribu. Dengan kos pembinaan dianggarkan mencecah RM600 ribu adalah diharapkan semua pihak dapat membantu pihak kami mendapatkan dana secukupnya untuk merealisasikan pembinaan ‘Rumah Allah’ yang mana semua pihak, ahli kariah dan para dermawan juga insyaAllah mendapat faedahnya iaitu ganjaran yang setimpal atau lebih baik daripada Allah SWT.
wassalam,
mohd.aryadi
(bendahari TPSAS)