Kursus Pengurusan Jenazah Muslimat di Surau Nur As-Sobirin
Assalamualaikum,
Sukacita dimaklumkan program kursus pengurusan jenazah muslimat anjuran Biro Muslimat akan diadakan pada tarikh berikut:
- 7 Januari, 2012
- Hari Sabtu
- Masa 8:30pagi – 1 petang
- Bertempat di Surau Nur As-Sobirin
Program akan dibimbing oleh Ustazah Latifah. Pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan:
- Pn. Rosnah: 013-930-1543
- Pn. Nor Rizah: 012-322-5070
Diharapkan semua muslimat sudi mengambil peluang yang disediakan ini sebagai persediaan dihari muka dan untuk memantapkan/mengulangkaji ilmu. Semuga mendapat keberkatan kepada diri, keluarga dan para penduduk di kawasan kita.
Syawal 1432H: Solat Sunat Aidil Fitri di Surau Nur As-Sobirin
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Setelah sebulan Ramadhan akhirnya meninggalkan kita pada tahun 1432H ini. Setelah sebulan kita diberi peluang bersama dan beramal ibadah di bulan yang dimuliakan tersebut, pagi 1 Syawal telah menjelang tiba. Semoga kita dipertemukan kembali dengan Ramadhan tahun hadapan.
Kali ini buat kali keduanya JK Surau mengadakan Solat Sunat Aidilfitri bersama ahli kariah dan sanak saudara yang beraya di Tasik Puteri di bangunan surau kekal yang telah siap sepenuhnya. Alhamdulillah, walaupun tidak berapa ramai yang berada di Tasik Puteri pada pagi raya, kedengaran takbir yang memuji Kebesaran Allah berkumandang dari corong speaker surau mewarnai suasana hari raya.
Solat Sunat Aidilfitri dan khutbah pada tahun ini disampaikan Penasihat JK Surau iaitu Ustaz Fathur Rahman. Majlis berakhir dengan bersalam-salaman dan menikmati juadah pagi raya sebelum kembali ke rumah masing-masing.
Bagi pihak JK Surau, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir & Batin. Semoga amalan kami dan Tuan/Puan sepanjang Ramadhan yang lalu diterima Allah SWT.
Berikut adalah sebagian gambar yang diambil pada pagi tersebut:
- Pagi 1 Syawal 1432H
Ramadhan 1432H: Sambutan Nuzul Al-Qur’an
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini bertarikh 20 Ramadhan 1432H bersamaan 20 Ogos 2011 pihak surau dan penduduk kariah sama-sama mengadakan sambutan Nuzul Al-Qur’an.
Sambutan hari-hari kebesaran Islam dan kerjasama sesama ahli kariah dalam merancang dan bergotong royong dapat mengukuhkan persaudaraan Islam sepertimana yang dianjurkan oleh Islam sendiri. Selain itu program berbentuk ilmu dan pengisian jiwa dapat membentuk peribadi mulia dan meningkatkan amal dan penghayatan Islam.
Persiapan majlis bermula pada hari program dijadualkan iaitu hari Sabtu iatu gotong royong mengemas surau dan menyediakan tempat masak memasak dan tempat berbuka puasa. Pada puasa kali ini bangunan surau telah siap sepenuhnya manakala ada projek tambahan sedang berjalan iaitu pembinaan kawasan dewan serbaguna berbumbung hasil sumbangan pihak kerajaan.
Sebaik selepas solat Zuhur gotong royong tersebut dan memasak dilaksanakan dan diketuai oleh AJK yang ditugaskan. Program bermula sekitar jam 6:30 petang dengan program Tazkirah sebelum berbuka puasa. Tazkirah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Fadhli.
Tazkirah mengupas tentang kewajipan ibadah berpuasa berhubung kait dengan kewajipan menegakkan hukum-hukum Allah yang lain yang terkandung dalam al-Qur’an yang mana kesemuanya bermatlamat untuk menjadikan hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Bermaksud setiap orang Islam hendaklah menerima dan melaksanakan seluruh perintah suruhan Allah dan meninggalkan seluruh larangan Allah untuk mencapai darjat taqwa.
Program tazkirah ditangguhkan untuk majlis berbuka puasa bersama-sama di surau. Diikuti dengan solat maghrib berjemaah dan kemudiannya semua jemaah menikmati hidangan jamuan yang disediakan secara gotong royong oleh pihak surau.
Selepas solat Isya’ diikuti majlis tahlil, solat tarawih, program tazkirah disambung semula sebelum melengkapkan 8 rakaat solat tarawih diikuti dengan witir.
Sambungan tazkirah menyentuh tentang takrif kejayaan oleh Allah SWT yang mana kejayaan itu ialah kepada mereka yang bertaqwa semasa hayatnya didunia yang mana pengorbanannya akan mendapat pembalasan dengan nikmat anugerah Allah dengan dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh dengan segalanya kenikmatan dan jauh kenikmatannya berbanding nikmat yang ada di dunia ini.
Sebelum meninggalkan surau sebahagian jemaah boleh berehat sambil minum berjuadahkan moreh. Program berakhir dengan sebahagiannya meneruskan program harian tadarus al-Qur’an.
Bersempena dengan bermulanya fasa ketiga Ramadhan sama-samalah kita merebut peluang untuk mencari kelebihan beribadah di malam Qadar yang mana kelebihannya menyamai beribadah 1000 bulan.
Berikut adalah sebahagian foto yang diambil sepanjang program:

Ramadhan 1432H: Menghayati Ramadhan Dengan Pengisian Ilmu dan Amal
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan hari-hari yang berlalu dengan pantas, sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk mengisi jiwa kita dengan ilmu dan amal kerana ilmu adalah asas kepada amalan yang kita lakukan. Semoga amal yang dilakukan adalah benar, menepati kehendak agama dan diterima Allah SWT.
Dan mudah-mudahan dengan keikhlasan dan kesabaran kita dalam melaksanakan amalan dan menuntut ilmu, Allah memberi keberkatan dan rahmatNya ke atas diri kita di Ramadhan tahun ini kerana belum pasti kita akan bertemu Ramadhan tahun depan.
Pada setiap malam Ramadhan pihak surau mengatur program Tazkirah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz berlainan sebagai pengisian kepada penghayatan Ramadhan iaitu mengambil masa sekitar 30 minit.
Berikut adalah salah satu dan sebahagian rakaman Tazkirah yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan Ustaz Tarmizi, pada 10 Ramadhan 1432H sebagai panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.
Bahagian 1 daripada 2 bersambung..
.. sambungan bahagian 2 daripada 2
Pengisian Madrasah Ramadhan 1432H: Rebutlah peluang dengan keimanan dan ketaqwaan
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah semua dari kita berpeluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan tahun ini. Masih diberi peluang untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan memperbaiki amalan sebagai bekalan bertemu denganNya.
Di bulan inilah digandakan kebaikan, bulan yang disebut permulaannya rahmat Allah, pertengahannya keampunan Allah dan pengakhirannya pelepasan dari api neraka. Maka beruntunglah mereka yang merebut peluang yang diberikan.
Menjadi kewajipan setiap hamba yang Muslim menunaikan solat 5 waktu sehari semalam dan sebaik-baik solat ialah dilakukan di masjid/surau di awal waktu. Di Ramadhan ini tentulah ganjarannya lebih lagi disamping kita melaksanakannya demi mencari redha Allah.
Gambar kiri: Menerapkan kecintaan kepada Kalam Allah dengan membaca al-Qur’an selepas subuh secara bersama berserta terjemahan setiap hari sepanjang tahun.
Keutamaan solat berjemaah terutamanya solat Isya’ dan Subuh memang dituntut oleh Islam dan ianya dapat memberi kebaikan kepada yang mengamalkannya sama ada dari segi ruhani malah dari segi fizikal.
Gambar kanan: Bilangan jemaah solat subuh di hari ahad minggu pertama Ramadhan melihatkan peningkatan.. alhamdulillah. Moga semua dari kita dikurniakan kekuatan untuk terus konsisten mengamalkannya di luar Ramadhan.
Bersempena dengan bulan yang mulia ini, pihak surau juga mengatur program tazkirah setiap malam yang mengambil masa 30 minit sebagai pengisian ilmu dan mengambil semangat dari anjuran Islam iaitu ingat mengingati dalam perkara hak dan ingat-mengingati dengan kesabaran. Untuk duduk dalam majlis juga memerlukan kesabaran dan latihan kepada kita sedangkan diberitakan mereka yang duduk dalam majlis sahaja pun boleh dapat pahala seperti orang yang pergi berjihad.
Selain program tazkirah, sebahagian majlis ilmu program bulanan masih diteruskan bergantung kepada kesesuaian waktu sebagai contohnya kuliah subuh pada pagi ahad masih diteruskan.
Gambar kiri: Penceramah jemputan kuliah subuh sedang menyampaikan ilmu pada 7 Ramadhan. Banyak ilmu yang dapat ditimba daripada majlis tersebut seperti:
- Pandangan berbeza mazhab berkenaan ayat Bismillah sebahagian al-Qur’an..
- Takmin, sebutan “Amin”; ganjaran dan asalnya..
- Selawat ke atas Nabi, berkenaan solat tarawih..
- Hukum menggunakan sejadah, menghias masjid..
- Imam yang tidak dapat hadir, bagaimana caranya..
- Panggilan kewajipan berpuasa kepada orang yang beriman..
- Apakah orang yang bertaqwa..
Akhir kalam..
Surau Nur As-Sobirin bukan milik sesiapa tetapi milik Allah, oleh itu sama-samalah kita mengimarahkan rumah tersebut demi kebaikan diri kita sendiri, demi mencari keredhaan Allah bukan kerana mencari keredhaan manusia ataupun mereka tidak mengunjunginya kerana tidak sukakan seseorang yang beribadah di dalamnya. Allah adalah matlamat. Wallahua’lam
Salam Ramadhan 1432H: Meningkatkan Ibadah Bersama Surau Nur As-Sobirin
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.
Setinggi kesyukuran dengan izinNya sekali lagi kita sampai ke bulan mulia yang didalamnya penuh keberkatan dan ganjaran yang besar bagi mereka yang memenuhinya dengan beribadah kepada Allah SWT. Dengan kesempatan umur yang dikurniakan ini sama2lah kita mencari kekuatan untuk mempertingkatkan amalan (dari segi kualiti dan kuantiti) pada Ramadhan tahun ini berbanding tahun2 sebelumnya sepanjang hayat kita sebelum ini. Untuk itu, pihak JK surau telah mengatur beberapa program khas sepanjang Ramadhan. Berikut adalah sebahagian daripada senarai program:
- majlis berbuka puasa
- solat sunat Tarawih dan Witir
- tazkirah Ramadhan
- jamuan moreh
- tadarus Al-Qur’an
Solat sunat Tarawih dilakukan sebanyak 8 rakaat (2 rakaat – 1 salam) dan di ikuti solat sunat Witir 3 rakaat (1 salam) diimamkan oleh guru-guru madrasah tahfiz berdekatan. Pengisian ilmu, tazkirah pula diadakan setiap malam selepas empat rakaat solat Tarawih oleh penceramah jemputan dari kawasan sekitar dan luar. Selain itu bersempena bulan yang penuh ganjaran ini, pihak surau mengalu2kan sumbangan bagi menjayakan program penghayatan Ramadhan dan untuk mengisi tabung pengurusan dan aktiviti surau untuk sepanjang tahun. Sumbangan boleh dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan atau berhubung dengan mana2 ahli JK. Senarai penyumbang penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh juga masih terbuka dan hanya tinggal beberapa hari sahaja yang masih kosong.
Berikut adalah sebahagian gambar yang diambil pada malam 1 Ramadhan 1432H. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan beroleh rahmatNya. Mudah2an Allah memilih kita untuk istiqomah dan mempertingkatkan lagi amal ibadah hingga ke akhir Ramadhan.
- Kehadiran Jemaah Malam 1 Ramadhan.. Moga dapat dikekalkan ke akhir Ramadhan
Kuliah Dhuha Nisfu Sya’ban: Persiapan Ramadan 1432H
Selain dari majlis ilmu yang disusun setiap minggu dan bulan di Surau Nur As-Sobirin, pihak Jawatan Kuasa juga mengadakan program khusus bersempena dengan hari2 kebesaran Islam. Kebiaasaannya program seperti ini mendapat sambutan yang lebih baik dengan pihak surau membuat edaran flyers dan banner, kuliah ilmu juga yang disampaikan oleh penceramah jemputan khas selain aturcara yang juga menyediakan jamuan makan. Program kuliah Dhuha kali ini dirancang atas permintaan dari jemaah yang menyumbangkan perbelanjaan bagi penganjuran majlis tersebut bersempena dengan sambutan Nisfu Syaaban dan persiapan Ramadan.
Seperti biasa majlis gotong royong membersihkan surau dan menyediakan makanan diadakan pada hari Sabtu dan malam hari sebelum majlis diadakan.
Kuliah Dhuha bermula selepas jam 10 pagi dengan tajuk Persiapan Menyambut Ramadan. Penceramah jemputan kali ini ialah Ustaz Ismail Abas.
Penceramah memulakan majlis dengan mengingatkan tujuan bulan Ramadan adalah untuk membentuk individu bertaqwa dan prosesnya ialah berpuasa. Ianya merupakan satu ujian mentaati perintah Allah dengan melakukan yang lain daripada kebiasaaan. Contohnya daripada makan di siang hari kepada berpuasa di siang hari. Atau jika sebelum ini solat subuh dah terlajak waktu kepada bangun sebelum subuh dan solat subuh secara berjemaah, dan sebagainya.
Secara ringkasnya puasa merupakan:
- latihan ketaatan kepada perintah Allah
- latihan kepada hawa nafsu, bila berbuka puasa jangan sampai makan itu merosakkan ibadah
Berikut adalah sebahagian foto yang diambil sepanjang program tersebut:
Ulangkaji dan Penambahbaikan Pembacaan Al-Qur’an dengan Tajwid dan Tarannum
Pada zaman ini telah agak mudah untuk kita mencari guru-guru untuk kita mendalami ilmu akhirat berbanding zaman kita semasa kanak-kanak. Kalau sebelum ini mungkin kita perlu pergi lebih jauh untuk mendalami sesuatu ilmu itu, sekarang ini ilmu itu datang sendiri ke tempat kita mencari kita.
Alhamdulillah, penduduk Tasik Puteri di kariah blok 2, 3, 4 dan Desa Puteri bertuah kerana mempunyai Ustaz yang sedia menurunkan ilmu pembacaan Al-Qur’an, dengan mempelajari ilmu tajwid yang betul dan disertai dengan memperindahkan bacaan dengan tarannum.
Program ini terbuka kepada semua golongan dewasa dan diadakan secara mingguan pada hari Jumaat selepas waktu Maghrib (secara percuma). Pengajian ini dibimbing oleh Ustaz Eddyanto (dari SK Bandar Tasik Puteri) . Jika berlaku sebarang perubahan masa akan dimaklumkan di Surau Nur As-Sobirin, InsyaAllah.
Oleh itu sama-samalah kita mengambil kesempatan ini dengan mengikuti majlis tersebut, mudah2an dengan dekatnya kita dengan kalam yang mulia, Al-Qur’an ianya dapat memberi syafaat kepada kita diketika kita amat memerlukannya nanti. Wallahua’lam.
Cintakan Allah dan Rasul [Love Allah and Rasulullah]
Program kuliah Subuh mingguan di hujung minggu diadakan seperti biasa pada pagi tadi selepas solat Subuh berjemaah. Alhamdulillah majlis ilmu tersebut berjalan seperti dirancang dan kuliah disampaikan oleh Ustaz Eidil.
Kuliah bermula dengan Ustaz menekankan adanya perbezaan dengar belajar agama dengan mendengar/menonton/membaca bahan2 agama melalui radio/tv/buku2 dengan menghadirikan diri dan duduk di dalam majlis2 ilmu. Duduk di dalam majlis2 ilmu di naungi oleh para Malaikat yang mendoakan mereka yang hadir dan dekat kepada rahmat Allah.
Antara intipati kuliah subuh pagi tadi, ialah menghuraikan 3 syarat untuk mendapat kemanisan Iman iaitu:
- Cintakan Allah dan Rasul mengatasi yang lain
- Mencintai seseorang kerana Allah
- Benci kepada kekufuran sebagaimana benci dimasukkan ke dalam api neraka
Kuliah menekankan kepada cinta kepada Allah dan Rasul dalam penghidupan kita jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat.
Oleh itu iktibar dari kuliah pagi tadi ialah sama2lah kita mengikuti majlis2 ilmu di rumah Allah dan cintakan Allah dan RasulNya.
Gambar di atas diambil dari ruang legar tepi surau Nur As-Sobirin sebelum kuliah subuh berakhir setelah menyedari langit merah yang menarik. Setelah gambar diambil, disedari kemudiannya bahawa terdapat kalimah Allah pada awan dari pancaran matahari pagi tersebut. Subhanallah, mungkin Allah mahu menunjukkan sedikit daripada kebesaranNya kepada hamba2Nya yang beriman, moga2 ianya dapat meningkatkan lagi keimanan kita bersama.
[ The above photo was shot in the early morning while the sun is rising at this surau/masjid while having an Islamic lecture program on Love of Allah and His Messenger]
Sambutan Isra’ Mikraj 1432H

Bersempena dengan bulan Rejab 1432H, pada tanggal 25 Jun 2011 pihak JK surau telah mengadakan sambutan Isra’ Mikraj pada hujung minggu hari Sabtu. Program bermula dengan gotong royong menyediakan masakan untuk jamuan selepas majlis di malam hari nanti.
Program pada sebelah malam bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah dan diikuti dengan Tazkirah Isra’ Mikraj yang disampaikan oleh penceramah jemputan Ustaz Ali Yamani bin Ustaz Omar. Tazkirah dimulakan dengan mengingati kembali dan pengajaran dari Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW lebih 1400 tahun yang lalu.
Antara intipati Isra’ Mikraj tersebut ialah ketetapan kefardhuan solat 5 waktu sehari semalam yang pada asalnya adalah 50 waktu/kali walaubagaimanapun akhirnya dengan rahmat Allah menjadi 5 kali sehari semalam dan tanpa mengurangi pahala seperti 50 waktu yang pada asalnya.
Antara penekanan solat yang disampaikan ialah kepentingan kita individu dan umat Islam menjaga solat dalam ertikata memastikan ibadah solat kita diterima Allah SWT. Sebaik-baik solat adalah dilaksanakan secara berjemaah di rumah Allah (masjid/surau) sebaik sahaja masuk waktu. Ustaz mengingatkan kelebihan yang disebut ” Barangsiapa yang solat berjemaah (di masjid/surau di awal waktu) 5 waktu sehari semalam selama 40 hari berturut-turut akan diberikan 2 kelebihan: (1) bebas daripada neraka (2) dijauhi daripada sifat nifaq (munafik)”
Kelebihan-kelebihan lain bagi mereka yang menunaikan solat adalah:
- dijauhi kesempitan hidup zahir dan batin (tenang jiwa)
- dihindarkan dari siksaan kubur (alam barzah)
- dapat melintasi Titian Sirat dengan pantas
- masuk syurga tanpa hisab
Program tazkirah diakhiri dengan doa yang dipimpin ustaz jemputan dan zikir taubat. Ia diikuti dengan solat Isyak secara berjemaah dan tahlil ringkas berikutan kematian salah seorang ahli kariah yang terkorban baru-baru ini.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam yang disediakan oleh pihak surau secara gotong royong di siang hari yang diketuai oleh chef En. Nasir.
Pihak JK bersyukur dan berterima kasih dengan peningkatan kehadiran lebih ramai ahli kariah dan jemaah yang sudi hadir, menimba ilmu dan menghayati amal-amal Islam selain meningkatkan lagi silaturrahim sesama kita. Semoga semua kita beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.
Berikut adalah sebahagian gambar yang diambil semasa majlis tersebut:














































































































































































